Dikebas RM120,000, Zynakal Pilih Halalkan Saja Atas Dasar Terhutang Budi

Penyanyi rap muda, Zynakal berkata dia telah mengambil keputusan untuk menghalalkan wang berjumlah RM120,000 yang ‘dikebas’ individu terdekat sebelum ini, atas dasar terhutang budi.

dikebas rm120,000, zynakal pilih halalkan saja atas dasar terhutang budi

Menurut Zynakal atau nama sebenar Muhammad Raziq Rosli, dia enggan menjadi insiden tersebut terus diungkit serta berharap perasaan ikhlasnya itu mampu melimpahkan pahala berganda bagi ibunya, Allahyarham Zuraidah Ibrahim.

“Sebenarnya jika ikutkan keseluruhan kerugian hampir mencecah RM200,000. Memang pada awalnya saya nak tuntut semula wang itu tetapi saya halalkan saja selepas membuat pertimbangan.

“Biarpun jumlahnya besar, namun saya juga pernah terhutang budi dengannya selain nak mengelakkan diri menjadi bahan ungkitan.

“Bagi saya, kalau RM120,000 ditukar menjadi 120,000 orang di depan mata, saya cuma minta mereka sedekahkan bacaan surah Al-Fatihah untuk arwah ibu.

“Itu saja. Jadi antara sebab saya halalkan adalah faktor ini,” ujarnya.

Tambah pelantun lagu “Terbang” yang berusia 23 tahun itu, insiden tersebut juga telah memberi pengajaran padanya supaya lebih berhati-hati dalam memilih kawan.

“Semua ini menjadi pengajaran tetapi saya tak mahu salahkan sesiapa. Mungkin peringatan atas kesalahan sendiri pada masa lalu.

“Cuma saya akui masih fobia dan agak trauma untuk berkawan mahupun mempercayai individu di sekeliling. Kadangkala saya tertanya-tanya betulkah ini kawan saya,” ujarnya.

 

Sumber: Kosmo