Pelakon dan penyanyi, Zarina Zainoordin, 40, akui kini sedang menjalin hubungan cinta dengan seorang ahli perniagaan berstatus duda anak dua yang dikenalinya sejak 10 tahun lalu.
Menurut Zarina, beliau selesa menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki berusia 52 tahun itu yang bersifat terbuka serta mempunyai kewangan yang kukuh.
Malah, beliau juga akui cuba untuk elak bercinta dengan mereka yang berstatus artis mahupun selebriti.
“Kami sudah 10 tahun rapat dan dia bapa kepada dua anak yang masih belajar di sekolah menengah.
“Dia juga bukan dalam kalangan orang seni kerana saya memang elak bercinta dengan artis, saya pilih yang berduit.
“Dia pun tahu kenapa saya pilih dia yang tak pernah berkira, tahu-tahu duit bulanan rumah dia dah bayar,” katanya.
Tambah Zarina lagi, beliau akui tidak tergesa-gesa untuk mendirikan rumah tangga meskipun usia sudah mencecah 40 tahun.
“Kalau ikutkan saya memang sudah lama bersedia untuk berumah tangga iaitu sejak zaman sekolah lagi.
“Tapi tidaklah sampai tahap tertekan sebab sekarang masih belum berkahwin pada usia 40 tahun.
“Bahkan keluarga dan saudara mara tak pernah tanya soal jodoh, kecuali sesekali apabila balik raya terasa juga ketika dikelilingi mereka yang sudah berkahwin,” ujarnya.
Katanya, beliau juga yakin akan bergelar isteri apabila sudah tiba masanya nanti.
“Mungkin dulu saya sibuk cari rezeki untuk bantu keluarga, itu yang sampai terlajak. Manalah tahu tahun ini kahwin. Doakan saya ya.
“Kalau sampai masanya pun saya pilih bersederhana, utamakan perkara wajib dulu, baru fikir resepsi dan sebagainya” kata beliau.
Zarina yang juga bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-2 sebelum ini dilapor pernah menjalin hubungan cinta dengan beberapa pelakon lelaki, namun tidak berkekalan.
Sumber: Kosmo!