Bekas peserta program realiti Akademi Fantasia (AF), Zarina Zainoordin tidak menyangka dia masih lagi berstatus bujang memandangkan usianya sudah 39 tahun tidak lama lagi.
Beliau yang juga pelakon dan penyanyi mengakui pernah menjalin percintaan dari zaman sekolah, namun jodohnya sampai sekarang masih belum berkunjung tiba untuk mendirikan rumah tangga.
“Tak sangka sampai sekarang saya belum kahwin lagi. Umur dah nak cecah 40. Bercinta dari zaman sekolah tapi tak kahwin lagi.
“Dulu saya fikir lepas sekolah dah nak kahwin. Orang yang pernah berkawan dengan saya (bekas kekasih) semuanya dah kahwin dan ada anak. Saya sahaja belum,” ujarnya.
Tambah lagi, meskipun beliau juga satu-satunya ahli keluarga yang masih belum berkahwin, beliau tetap bersyukur kerana keluarganya yang lain memahami dirinya.
“Adik bongsu dah ada tiga anak. Anak-anak buah pun ada yang dah bertunang. Namun saya bersyukur keluarga dan kawan-kawan okey.
“Saya elakkan orang yang suka kepoh hal orang. Tapi kalau orang tanya, saya jawab macam biasa. Kalau rasa sakit telan sahaja.
“Normallah orang nak tanya. Kalau yang perli-perli suka hati merekalah. Benda itu bukan kerja kita,” katanya lagi.
Zarina memaklumkan beliau juga sudah mempunyai teman istimewa yang dikenalinya sejak 10 tahun lalu.
Mengulas lanjut, beliau bersama teman istimewanya yang berusia 52 tahun itu sedang mencari waktu yang sesuai untuk berkahwin, namun masing-masing terikat dengan komitmen kerjaya.
“Saya nak kahwin, nak sangat. Cuma untuk kahwin belum tahu waktunya kerana kami masing-masing jenis cari duit. Dia berusia 52 tahun dan berstatus dua anak.
“Tunggulah dia fokus pada anak-anak sampai besar sikit. Dia seorang ahli perniagaan dan kami kenal menerusi kawan-kawan. Dialah teman lelaki yang paling lama saya berkawan. Tak sangka juga saya paling lama kawan dengan dia,” jelasnya lagi.
Tambah lagi, Zarina mengakui pernah beberapa kali gagal dalam percintaan terdahulu dan meminta agar orang ramai mendoakannya agar segera bertemu jodoh sesuai.
Sumber: Harian Metro (Ridzuan Abdul Rahman)