Pelakon, Zarina Anjoulie membuat keputusan untuk menyambung kembali ikatan pertunangan bersama ahli perniagaan, Datuk Seri Khazrul Elzy.
Menurut penyanyi yang lebih dikenali sebagai Anju, 36, keputusan dibuat selepas menerima kunjungan keluarga ahli perniagaan lelaki terbabit yang membawa bersama cincin untuk menyambung semula ikatan yang terputus sejak Februari lalu.
Tambah Anju, meskipun telah terpisah namun mereka masing-masing saling memerlukan antara satu sama lain, menjadi faktor utama mereka kembali bersama.
“Kami rapat semula sekitar Julai dan mengambil keputusan bertunang semula pada bulan lalu selepas sedar masing-masing juga rindu dan perlukan satu sama lain.
“Tak rasa ke kami ini sama-sama gila? Sebab itu boleh bersama. Dua-dua sayang. Lagipun anak saya rapat dengan dia, begitu sebaliknya. Saya pun malas nak cari lelaki lain,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Anju lagi, pertelingkahan yang berlaku sebelum ini menjadi pengajaran bermakna buat mereka untuk menjaga ikatan kali ini agar tidak terputus lagi di masa akan datang.
Anju menambah, mereka tidak mahu tergesa-gesa berkahwin, sebaliknya mengikuti sahaja jalan yang ditentukan Tuhan.
“Kali ini kami sudah belajar dari pengalaman lalu. Tapi tak mahu lama sangat (kahwin). Niat memang ada, tapi jodoh di tangan Allah. Hubungan kali ini menjadi atau tidak, saya sendiri tak tahu.
“Dahulu mungkin macam terlampau terburu-buru, tiga bulan kenal terus nak cepat kahwin. Sekarang saya dengan Datuk tak nak menaruh apa-apa harapan.
“Nanti kalau menaruh harapan sangat kami gaduh pula. Kalau jadi (nikah), alhamdulillah. Tak jadi pun tak mengapa, kita sudah berjanji tak mahu bergaduh lagi,” tambahnya.
Terdahulu, Anju dan Khazrul, 45, telah melangsungkan pertunangan pada 26 Januari lalu, namun terputus sebulan kemudian.
Sumber: Kosmo!