Pelakon Puteri Sarah Liyana mendedahkan bapa mentuanya, Datuk Yusof Haslam adalah antara individu yang tidak putus-putus memberi sokongan terhadap dirinya sepanjang berdepan dengan konflik rumah tangga yang melibatkan pihak ketiga.
Menurut Sarah, bapa mentuanya itu merupakan adalah antara punca dirinya mampu kekal kuat dalam berhadapan dengan kemelut rumah tangganya sehingga hari ini.
“Setiap minggu dapat mesej semangat daripada bapa mentua.
“Ini adalah salah satu perkara yang juga membakar semangat saya untuk tidak berputus asa dalam hidup,” ujarnya.
Terdahulu, Puteri Sarah berkongsi mesej perbualan antara dirinya dan Yusof menerusi satu hantaran di Instagram Story.
Dalam hantaran itu, penerbit filem masyhur itu menyatakan dia akan terus menyokong Puteri Sarah walau apa pun yang terjadi.
“Kami akan sentiasa berdiri teguh di sisi Sarah dan anak-anak. Ceriakan hidup kamu dengan anak-anak, orang tuamu dan kami yang berdiri di belakang Sarah waima apa situasi pun,” tulis bapa kepada Syamsul Yusof itu dalam mesej terbabit.
Sumber: MStar