Yonnyboii, penyanyi berusia 24 tahun, berkata beliau akan berusaha untuk memenuhi kehendak isterinya yang sedang mengandung lapan bulan, Nik Nazira Narriman, dengan membeli segala jenis makanan yang diidamkan olehnya, kerana tidak mahu air liur bayi yang akan dilahirkan itu nanti meleleh.
Yonny atau nama sebenarnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin berkata bahawa isterinya mempunyai pelbagai jenis makanan yang diidamkan, ada yang sudah dibeli dan ada yang masih lagi dicari.
"Dalam tempoh lebih sebulan ini saya akan terus berusaha mencari dan mendapatkan makanan yang diidamkan isteri. Sebabnya, emak saya selalu mengingatkan agar mencari makanan diidamkan itu sampai dapat.
"Maklumlah, kata orang tua-tua kalau isteri hamil tak dapat makanan yang diidamkan itu, nanti air liur anak akan meleleh. Jadi, kalau boleh saya tak mahulah air liur anak kami meleleh-leleh pula nanti.
"Saya akan usaha cari dan cuba dapatkan apa saja isteri idamkan selagi belum sampai masa dia bersalin. Insya-Allah, saya yakin dapat menunaikan semua benda yang didamkan itu," katanya.
Mengenai jantina bayi mereka, Yonny berkata mereka sudah tahu tetapi memilih untuk merahsiakannya sebagai kejutan ramai. Bagaimanapun mereka akan mengumumkannya setelah bayi lahir.
Tambah lagi, Yonny mengakui bahawa dia kini sedang menghasilkan lagu istimewa untuk anak mereka yang akan dilahirkan pada pertengahan Julai nanti. Lagu ini juga akan dimuatkan dalam album pertamanya yang akan dilancarkan pada tahun ini.
"Insya-Allah, saya dan isteri akan menimang cahaya mata kami pada pertengahan Julai depan. Sekarang, usia kandungan pun sudah mencecah lapan bulan.
"Tak sabar sebenarnya nak jadi ayah, walaupun pada masa sama perasaan sangat berdebar. Tapi, lagu istimewa untuk anak saya memang dalam proses untuk disiapkan," katanya.
Sebelum ini, Yonny dan Nazira berkahwin pada 20 November 2021 selepas sebulan melangsungkan pertunangan mereka. Pasangan itu telah selamat menjadi suami isteri dalam perkahwinan dalam majlis di Duchess Place, Ampang.
Sumber: HMetro