Mahkamah Arah Yasin Ke Hospital Bahagia Untuk Pemeriksaan Mental

Penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman telah diarahkan oleh Mahkamah Sesyen untuk dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta di Tanjung Rambutan, Perak untuk pemeriksaan tahap kesihatan mentalnya.

mahkamah arah yasin ke hospital bahagia untuk pemeriksaan mental

Menurut Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad, beliau memerintahkan penyanyi dan komposer itu selepas membenarkan permohonan daripada pasukan pembelaan.

 

Peguam yang mewakili Yasin iaitu Ariff Azami Hussein berkata pihaknya membuat permohonan itu mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah selepas terdapat asas yang kuat untuk kesihatan mental penyanyi itu diperiksa oleh pakar psikiatrik.

 

“Pemerhatian juga perlu dibuat untuk memastikan sama ada Yasin layak untuk dibicarakan atau tidak.

“Pembelaan telah mengemukakan lima laporan perubatan antaranya mengesahkan sejarah kesihatan mental Yasin yang menghidap penyakit ‘Bipolar Disorder Type I’ sejak 2007,” katanya, ketika sebutan kes pada Isnin.

 

Tambah peguam itu lagi, terdapat laporan yang menunjukkan Yasin pernah diserang ‘simptom manic’ yang boleh membahayakan dirinya. Menerusi laporan terkini oleh Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC) juga mengesahkan keadaan mental dan kesihatan Yasin semakin merosot hingga boleh membahayakan nyawa.

 

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Jun depan untuk laporan psikiatrik.

 

Terdahulu, Yasin dituduh mengedar dadah tetapi berjaya mengelak hukuman gantung. Namun, beliau dituduh semula atas kesalahan memiliki dadah seberat 193.7g dan boleh dihukum penjara seumur hidup atau 5 tahun penjara. Yasin juga didakwa menanam kanabis dan memberi dirinya dadah berbahaya yang boleh mengakibatkan hukuman penjara seumur hidup atau denda maksimum RM5,000 atau 2 tahun penjara.

 

Sumber: Astro AWANI