Bintang muda, Yaki Zamani mendedahkan dirinya telah merakamkan semula lagu popular “Gadis Melayu” dendangan asal bapanya sendiri, Datuk Jamal Abdillah.
Single terbaru Yaki itu bakal dilancarkan pada 8 September ini.
Bagaimanapun, menurut Yaki, bapanya tidak mengetahui yang dia sebenarnya telah merakamkan semula lagu tersebut.
“Baru-baru ini saya menyanyikan lagu itu bersama bapa. Dari situlah mak saya sukakannya dan mencadangkan agar merakamkan versi baru itu.
“Bapa saya tak tahu pun sebab saya memang banyak berahsia daripadanya mengenai apa saja aktiviti dilakukan. Lagipun lagu itu dipopularkan bapa daripada penyanyi lain.
“Ada suntikan elemen comel-comel sedikit, dimudakan, tapi tidak lari jauh dari irama asal. Saya pun takut juga sebab suara saya pun semakin matang. Saya sudah cuba sedaya-upaya untuk tidak disamakan dengan bapa,” ujarnya.
Dalam pada itu, kongsi Yaki, peningkatan usia telah menyebabkan dia menjadi semakin mendatang dari segi pemilihan genre lagu.
“Dulu sewaktu baru bermula dalam industri, saya lebih cenderung kepada lagu rap. Tapi bila semakin berusia, saya sudah mula minat lagu berentak pop etnik.
“Lagu Gadis Melayu berentak pop yang rancak. Jadi, saya kena betul-betul kuasai lagu itu kerana benar-benar mencabar dan laju,” ujarnya.
Sumber: HMetro