Pelakon, Sharnaaz Ahmad baru-baru ini mendapat pujian ramai khususnya warganet apabila dilihat menitipkan doa dan ucapan kepada bekas isterinya, Noor Nabila.
Menerusi ucapan tersebut, Sharnaaz atau nama penuhnya Sharnaaz Ahmad bin Basir Ahmad, berterima kasih kepada Nabila kerana sudah menjaga anak mereka dengan baik selama ini.
“Selamat Hari Lahir mommy (Nabila), terima kasih sebab jadi ibu yang terbaik untuk Jebat. Sentiasa beli permainan dan pergi bercuti di tempat yang seronok.
“Semoga Nabila sentiasa bahagia dan dimurahkan rezeki, Jebat sangat beruntung memiliki ibu yang sangat kelakar dan ‘annoying’ dalam masa sama,” katanya dalam hantaran Instagram.
Hantaran itu turut disertakan foto Nabila dan anak mereka, Jebat, memakai baju sedondon berwarna hijau.
Selain itu, Sharnaaz turut berharap anak lelakinya itu dapat menjaga dan menghargai mereka berdua sebagai ibu dan bapa sehingga ke akhir hayat.
“Semoga Jebat Jayden boleh jaga mummy sampai mummy dan baba tutup mata,” katanya lagi.
Perkongsian Sharnaaz ini mendapat balas daripada Nabila yang turut berterima kasih kepada bekas suaminya itu atas ucapan diberi.
“Amin, terima kasih awak. ‘Annoying’ itu bagus, penyedap rasa orang kata. Terima kasih untuk ucapan ini.
“Terima kasih kerana sentiasa menghargai saya,” balas Nabila.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet memuji hubungan baik pasangan ini meskipun mereka sudahpun berpisah sejak tiga tahun yang lalu.
Terdahulu, pasangan ini bercerai pada 9 Julai 2020 secara hakam di Mahkamah Rendah Syarikah Wilayah Persekutuan. Mereka berkahwin pada 31 Mac 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden Ahmad yang kini berusia 5 tahun.
Sumber: Instagram