Pukul Kucing Sampai Mati, Peniaga Pisang Goreng Dihukum Penjara

Seorang wanita yang juga peniaga pisang goreng telah dijatuhkan hukuman penjara enam bulan selepas mengaku bersalah memukul seekor kucing jalanan menggunakan penyapu sehingga mati.

pukul kucing sampai mati, peniaga pisang goreng dihukum penjara

Pengakuan dibuat dihadapan hakim Azrul Darus oleh wanita warganegara Indonesia berusia 60 tahun, selaku orang kena saman (OKSA) dan memerintahkan hukuman penjara bermula semalam (23 Nov 2022).

 

Menurut pertuduhan, wanita itu didapati memukul seekor kucing dengan menggunakan sebatang penyapu pada jam 7.45 pagi 20 Ogos lalu di sebuah kedai dekat Serdang Jaya, Seri Kembangan.

 

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (akta 772) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 29(1) akta sama.

 

Hukuman memperuntukan denda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

 

Wanita itu yang tidak diwakili peguam turut membuat rayuan agar hukuman diringankan dengan alasan beliau menghidap sakit jantung.

 

“Saya mengaku melakukan kesalahan (pukul kucing) minta maaf tuan…saya akur,” katanya.

 

Bagaimanapun pendakwa memohon mahkamah mengenakan hukuman berat sebagai pengajaran kepada OKS.

 

“Dalam kes ini, OKS telah memukul seekor kucing sehingga mati. Tindakan OKS sangat kejam apatah lagi haiwan yang dipukul itu langsung tidak mengganggu atau merosakkan hartanya,” kata Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Vaterinar Selangor, Mohd. Sharif Sabran.

 

Kejadian berlaku ketika wanita berkenaan sedang menjalankan kerja pembersihan di sebuah premis dan terlihat seekor kucing di atas kerusi. Wanita itu kemudian memukul kucing terbabit menggunakan sebatang kayu sehingga kucing itu mati.

 

Kejadian itu telah mendapat perhatian dan satu laporan polis dibuat sebelum wanita berkenaan ditahan polis.

 

Hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan retakan pada tengkorak bahagian kiri kepala kucing terbabit. Kucing itu tidak dapat diselamatkan sebelum disahkan mati.

 

Sumber: Utusan Malaysia

Foto sekadar hiasan