Pelakon veteran, Wan Maimunah, 65, mendedahkan beliau hanya ditawarkan sebanyak RM200 untuk membintangi sebuah telefilem, bulan lalu.
Menurut Wan Maimunah, meskipun isu bayaran yang rendah dibayar kepada pelakon veteran sudah lama diluahkan ramai, namun hingga kini masih belum ada sebarang penyelesaian dicapai.
"Saya tidak merajuk dan masih sayangkan karier lakonan ini kerana sudah sebati dengan diri. Tapi, bila fikirkan bayaran tidak setimpal dan amat rendah, lebih baiklah saya duduk di rumah dan berehat. Rezeki Allah itu luas dan ada di mana-mana.
"Cuma, rasa sedih itu membuat hati saya sebak mengenangkan RM200 saja ditawarkan untuk berlakon sebuah telefilem. Jumlah babak mesti banyak dan sudah tentu memenatkan. Tapi, tak apalah memang bukan rezeki saya," katanya.
Katanya, disebabkan ada diskriminasi bayaran seperti ini, dia lebih sanggup menerima tawaran daripada syarikat produksi baharu untuk berlakon filem pendek kerana bayaran ditawarkan jauh lebih baik berbanding bekerjasama dengan syarikat produksi lama.
Sumber: Gempak
Foto utama: Utusan