Jangan Risau! Vaksin Di Malaysia Selamat, ‘‘Belum Pernah Orang Jadi Zombie Lepas Diberi Vaksin..’’

Vaksin COVID-19 merupakan satu cara imuniti bagi memberikan perlindungan kepada manusia daripada dijangkiti wabak tersebut.

jangan risau! vaksin di malaysia selamat, ‘‘belum pernah orang jadi zombie lepas diberi vaksin..’’

Meskipun begitu, masih ada yang merasa takut untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 ini dengan pelbagai alasan tersendiri.

 

Menurut Penasihat Sains kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Prof Madya Dr Mohd Ghows Mohd Azzam berkata, apa sahaja vaksin yang diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), agensi yang bertanggungjawab meluluskan vaksin, adalah selamat digunakan di negara ini.

 

"Orang ramai perlu tahu ia adalah lebih rumit (untuk memahami keberkesanan vaksin) daripada hanya (melihat) kepada angka. Inilah sebabnya mengapa NPRA akan menganalisis semua data klinikal, dengan protokol yang berbeza dan akan memutuskan adakah vaksin itu selamat dan berkesan untuk digunakan di Malaysia.

"NPRA bekerja siang dan malam menganalisis semua data ini. Ini bukan proses yang mudah, jadi kita harus memberi mereka masa untuk memastikan bahawa apa sahaja (vaksin) yang mereka luluskan adalah vaksin terbaik untuk kita.

“Pada masa ini, NPRA telah memberikan persetujuan bersyarat kepada vaksin Pfizer. Sekiranya mereka meluluskan vaksin lain dan saya ditawarkan untuk mengambil vaksin, saya dengan senang hati melakukannya," katanya kepada Bernama.

jangan risau! vaksin di malaysia selamat, ‘‘belum pernah orang jadi zombie lepas diberi vaksin..’’

Menurut statistik, beliau berkata sehingga kini terdapat 138 juta dos vaksin yang telah diberikan di lebih 70 negara di seluruh dunia, tanpa sebarang laporan kematian yang dikaitkan secara langsung dengan vaksin COVID-19.

 

Bagaimanapun katanya, terdapat beberapa individu yang mengalami reaksi alahan setelah divaksinasi, dengan jumlah kes yang rendah dilaporkan.

 

"Jadi, bagi mereka yang mengalami alahan teruk, mereka harus memberitahu doktor mengenainya. Untuk mengatasi masalah ini, kerana kami tahu terdapat individu yang mempunyai reaksi alahan terhadap vaksin, maka setelah anda mendapat vaksin anda harus menunggu antara 15 hingga 30 minit sebelum pulang, kerana kita mahu doktor memantau sebarang reaksi, (bagaimanapun) kesnya sangat rendah.

"Saya belum pernah mendengar orang berubah menjadi 'zombie' atau mereka tumbuh sepasang sayap setelah diberi vaksin. Tidak ada bukti bahawa kematian itu secara langsung disebabkan vaksin COVID-19.

"Semakin lama pandemik COVID-19 berlarutan, semakin banyak jenis virus akan wujud kerana ia secara semula jadinya akan bermutasi," katanya.

"Kita perlu menggunakan vaksin untuk melindungi masyarakat sebaik mungkin. Inilah sebabnya mengapa slogan kami adalah 'lindungi diri, lindungi semua'. Jika anda ditawarkan vaksin, sila ambil. Ia bukan hanya untuk melindungi anda, tetapi juga melindungi semua orang.

"Orang ramai perlu mendapatkan fakta yang sebenar. Contohnya, dapatkan maklumat tepat dengan melayari laman web KKM untuk melihat fakta terkini. Jauhi kumpulan anti vaksin atau mereka yang menghasut bertujuan menakut-nakutkan mengenai virus dan vaksin," katanya lagi.

 

Orang ramai juga dinasihatkan untuk sentiasa mencari sumber yang tepat dan memeriksa fakta yang berkaitan dengan sebarang maklumat mengenai vaksin COVID-19 seperti laman web Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan akaun media sosial Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

 

Sumber: BERNAMA / Astro Awani