Pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad tidak kisah digelar ‘terpaling ibu’ gara-gara kerap berkongsi perihal tentang penjagaan anaknya, Raja Urhan.
Uyaina atau nama sebenarnya Saidatul Naseha Uyaiana Arshad berkata, beliau lebih mementingkan kesihatan anaknya berbanding pandangan orang luar, selain mahu berkongsi info dengan orang ramai, lebih-lebih lagi berkenaan masalah lidah pendek (tongue-tie) yang dihidapi anaknya.
“Apa pun orang cakap, saya tidak kisah. Yang penting, anak saya sihat. Masing-masing ada pengalaman sendiri menjadi ibu, jadi terpulanglah.
“Kita buat macam mana pun, ada sahaja yang tidak kena dengan selera segelintir netizen di luar sana.
“Tidak mengapalah, saya cuma kongsi dengan mereka yang positif untuk menerima ilmu baharu,” katanya.
Dalam pada itu, Uyaina turut berasa teruja apabila masyarakat mula mengetahui mengenai masalah lidah pendek selepas beliau berkongsi mengenai masalah itu di Instagram.
Terdahulu, Uyaina memberitahu beliau hanya berpeluang menyusukan anak sulungnya kurang dua minggu disebabkan masalah lidah pendek ini. Disebabkan itu, doktor menggunting sedikit bahagian bawah lidah anaknya bagi mengurangkan masalah yang dialami ini.
Sumber: Kosmo! / Instagram