Pelakon, Uqasha Senrose meluahkan rasa terkilan dengan sikap segelintir pihak yang sebelum ini pernah mendakwa dia dan adik beradiknya yang lain sukar untuk mendapatkan zuriat.
Menurut pemilik nama sebenar Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 31, beliau juga berasa hairan kenapa orang luar begitu sibuk dengan perancangan zuriat keluarganya.
"Kalau nak ikutkan kami semua baru beberapa tahun berkahwin. Saya, Nelydia Senrose dan Raysha Rizrose baru beberapa tahun melayari bahtera rumah tangga.
"Saya tak faham kenapa orang luar begitu sibuk dengan kehidupan peribadi kami. Mestilah masing-masing ada perancangan.
"Saya sendiri pun apabila dapat tahu sedang hamil, saya tidak terus hebahkan kepada orang luar sebab tak nak stres.
"Bagi saya, soal jodoh, ajal, maut dan rezeki ini pada Allah yang sudah aturkan apa terbaik untuk kita semua," katanya.
Uqasha yang baru-baru ini mengumumkan berita sedang hamil anak pertama juga menafikan dakwaan beliau mahu menunjuk-nunjuk berita gembira itu, sebaliknya hanya mahu menjawab segala pertanyaan pengikutnya di media sosial.
Terdahulu, Uqasha dan suaminya, Kamal Adli selamat dinikahkan pada 5 Nov 2021 di Janda Baik, Pahang. Beliau sebelum ini pernah berhadapan dengan keguguran sebanyak dua kali, sebelum mengesahkan berita kehamilannya kepada pengikut di Instagram pada Ahad lalu.
Baca: “Alhamdulillah, Baby 2024,” Uqasha Senrose dan Puteri Aishah Umum Kini Sedang Hamil
Sumber: HMetro