Ella Pecah Rekod Artis Malaysia, Tiket Konsert Habis Terjual Dalam 24 Jam!

Penyanyi dan ratu rock Malaysia, Ella telah memecahkan rekod baru buat artis Malaysia apabila berjaya menjual kesemua tiket konsertnya dalam tempoh 24 jam.

ella pecah rekod artis malaysia, tiket konsert habis terjual dalam 24 jam!

Ella yang bakal menganjurkan konsert JILID AKHIR: ELLA PUTERI KOTA sempena 35 tahun penglibatannya dalam industri seni di Axiata Arena Bukit Jalil pada 10 Jun 2023.

 

Tiket konsert yang mula dijual pada 13 Mac 2023 jam 12:00 tengahari telah terjual sebanyak 50% hanya dalam tempoh 2 jam sahaja. Pihak penganjur Hitman Solutions dan RockQueen terpaksa mengambil langkah untuk menghentikan jualan sementara kerana lebih dari 25,000 orang telah beratur di laman web mengakibatkan proses pembelian menjadi tergendala. Namun, pihak penganjur telah segera menyelesaikannya dan penjualan disambung semula pada jam 5:00 petang.

 

Ini sedikitpun tidak mematahkan semangat peminat untuk terus mencuba untuk membeli tiket konsert Ella. Pada jam 7:00 malam, 90% tiket telah terjual dan selebihnya hanya tinggal kategori Rockzone. Secara rasminya tiket konsert JILID AKHIR: ELLA PUTERI KOTA habis terjual kesemuanya pada jam 12:00 tengahari keesokkan harinya pada 14 Mac, menandakan tiket-tiket tersebut ‘sold out’ dalam tempoh 24 jam selepas jualan bermula.

 

Menurut CEO dan pengasas Hitman Solutions, penjualan tiket konsert yang ‘sold out’ dalam masa 24 jam telah berjaya memecahkan rekod baharu dalam penjualan tiket bagi artis Malaysia yang pernah dianjurkan di Axiata Arena

 

Ella turut meluahkan rasa syukur dan berterima kasih atas sambutan hangat para peminatnya yang bersama-sama mahu meraikan konsert kali ini.

ella pecah rekod artis malaysia, tiket konsert habis terjual dalam 24 jam!

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak pengurusan saya, RockQueen dan juga rakan penganjur, Hitman Solutions dalam menjayakan konsert ini. Saya sangat teruja, berbangga dan bersyukur dengan hasil jualan yang luar biasa ini.

“Saya juga berterima kasih kepada semua peminat dari seluruh pelusuk dunia, terutamanya dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan juga Brunei di atas semangat mereka yang ingin bersama saya meraikan konsert ini.

“Ella tidak sabar untuk berikan yang terbaik pada semua, semoga peminat dapat mendoakan kesihatan kesemua pihak yang terlibat agar acara ini menjadi memori yang wajar dikenang. Bagi mereka yang terlepas peluang untuk mendapatkan tiket, InsyaAllah, pihak pengurusan sedang mempertimbangkan dan akan mencari jalan terbaik untuk memuaskan hati semua,” kata penyanyi itu.