Tiga Anggota Dolla Jadi Mangsa Terbaru Influenza

Kumpulan gadis popular, Dolla terpaksa berehat daripada sebarang aktiviti seni susulan tiga ahlinya yang dijangkiti Influenza.

tiga anggota dolla jadi mangsa terbaru influenza

Mereka yang dijangkiti adalah Syasya, Sabronzo dan Angel.

Menurut Pengurusan Pemasaran dan Promosi bahagian Domestik Universal Music Malaysia, Anne Mukhtar, mereka bagaimanapun kini dalam keadaan yang tidak membimbangkan.

“Alhamdulillah, keadaan mereka terkawal dan semakin pulih. Ketiga-tiga mereka direhatkan selama tiga hari, bermula semalam.

“Mereka tidak mengalami demam teruk, sebaliknya cuma selesema,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Anne turut tidak menolak kemungkinan faktor kurang rehat disebabkan jadual padat sehingga menyebabkan kesihatan mereka merosot selain mudah dijangkiti virus.

“Kebelakangan ini, jadual aktiviti seni mereka agak padat  dan kurang masa rehat. Mungkin itu antara faktor yang menyebabkan mereka senang dijangkiti.

“Selepas dinasihatkan berehat, masing-masing menunjukkan perkembangan kesihatan yang semakin baik,” katanya.

Sementara itu, Anne berharap para peminat mendoakan kesihatan kumpulan Dolla supaya mereka dapat beraksi semula.

“Kepada peminat, usah bimbang. Mereka kini semakin okey. Mereka akan kembali sibuk selepas ini, termasuk muncul pada acara Kuala Lumpur Fashion Week, hujung minggu.

“Mereka juga akan menjayakan beberapa undangan persembahan yang telah dipersetujui,” katanya.

 

Sumber: Utusan