Walau Berstatus Artis, Tiada Layanan Istimewa Buat Alyssa Dezek di Sekolah

Penyanyi remaja meningkat naik, Alyssa Dezek, adalah satu nama yang semakin dikenali, tambahan pula berjaya menempatkan dirinya dalam senarai 10 YouTuber paling berjaya di Malaysia.

walau berstatus artis, tiada layanan istimewa buat alyssa dezek di sekolah

Bukan sahaja mempunyai bakat dalam bidang nyanyian, Alyssa juga boleh bermain alat muzik ukulele, membuatkan dirinya kini mempunyai lebih 4.63 juta pengikut di YouTube.

 

Alyssa yang mula meriah populariti dan kekayaan seawal dari usia 4 tahun bagaimanapun tidak sesekali melupakan pelajaran dan masih terus ke sekolah, walaupun akuinya sukar untuk membahagikan masa.

 

“Saya kini berusia 15 tahun. Walaupun tidak perlu lagi menduduki Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) selepas dimansuhkan, saya tetap ambil serius dengan peperiksaan akhir tahun.

“Walaupun saya akui sukar sebenarnya untuk membahagikan masa antara kerjaya seni dengan pelajaran, saya perlu bijak untuk menguruskan masa, supaya tidak ketinggalan dalam kedua-dua bidang,” kata Alyssa.

walau berstatus artis, tiada layanan istimewa buat alyssa dezek di sekolah

Beliau yang kini bersekolah di sebuah sekolah swasta juga berkata, statusnya sebagai artis tidak memberikan sebarang kelebihan buat dirinya atau mendapat sebarang layanan istimewa.

 

“Saya belajar di sekolah swasta. Di sekolah, saya tidak dilayan seperti artis. Ketika mula-mula masuk (sekolah), saya beranggapan mungkin akan dilayan sedikit berbeza.

“Saya membayangkan tidak ada seorang pun yang mahu berkawan dengan saya. Tapi tidak sangka, kawan-kawan semuanya baik dan menerima saya.

“Kalau saya terlepas satu-satu subjek, rakan-rakan akan membantu saya untuk mengulang kaji pelajaran,” ujarnya.

 

Menurut Alyssa lagi, beliau juga pernah dibebel guru kerana kerap tidak hadir ke sekolah gara-gara sibuk dengan jadual sebagai seorang artis.

 

Dalam perkembangan lain, Alyssa kini tampil dengan single keempat berjudul Faham Tak, hasil ciptaan Acap Salim, Faizal Tahir, Glow Rush, Mike Chan dan Nick Ariff, manakala muzik video (MV) dihasilkan produksi milik penyanyi, Asad Motawh iaitu Motawh Production.

Sumber: HIB Glam