Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar menjangkakan negeri tersebut akan beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) bulan September ini.
Katanya, ia berikutan kadar vaksinasi dua dos yang telah pun dicapai Terengganu kini kira-kira 35 peratus berbanding nilai ambang Fasa 3 yang ditetapkan kepada 40 peratus.
"Untuk Terengganu, penerima satu dos kita sudah capai 60 peratus manakala berdasarkan data dua hari lepas, bagi penerima dua dos kita sudah berada pada 35 peratus.
"Jadi ada kurang lima peratus lagi sebelum Terengganu sampai ke 40 peratus sebagai salah satu syarat mencapai fasa berikutnya," ujar beliau.
Selain perlu mencapai 40 peratus kadar vaksinasi dua dos, penggunaan unit rawatan rapi (ICU) perlu di tahap selamat, dan kes harian COVID-19 berada di bawah angka 2,000 adalah antara kriteria sesebuah negeri itu berada dalam Fasa 3 PPN.
Dalam perkembangan lain, sebanyak 487 lagi kes baharu positif COVID-19 dicatatkan di Terengganu pada 18 Ogos 2021, yang mana turut menyumbangkan kepada peningkatan kes baharu tertinggi di Malaysia iaitu 22,242 kes.
Sumber: KKM / Astro AWANI