Penyanyi, Syada Amzah berkata beliau tidak ada sebarang niat lain ketika membuat surat terbuka yang ditujukan kepada bapanya, ND Lala baru-baru ini.
Menurut Syada atau nama lengkapnya Nursyuhada Amir Amzah, beliau pernah menulis dalam hantaran di Instagram tidak akan memuatnaik lagi foto bapanya itu di media sosial selepas ND Lala dilaporkan berkahwin dengan seorang wanita lain.
Bagaimanapun Syada berkata, beliau hanya berharap bapanya akan membaca surat terbuka itu dan cuba memahami apa yang beliau hendak sampaikan.
Namun kata Syada, hingga ke hari ini bapanya itu masih belum memberi sebarang maklum balas berhubung surat terbuka itu dan hanya mendiamkan diri.
Menurut Syada lagi, beliau tergerak hati untuk membuat surat terbuka itu ketika sedang bersahur pada 9 April lalu, tarikh yang sama dengan hari kelahiran bapanya.
“Kenapa saya tulis surat terbuka itu sebab pada hari tersebut merupakan hari jadi ayah. Saya tidak ada niat lain seperti yang didakwa segelintir pihak.
“Bukan juga untuk meraih simpati atau perhatia sesiapa pun,” katanya.
Kata Syada, kali terakhir beliau berjumpa dengan bapanya adalah pada 1 April lalu sebelum beliau gagal dihubungi sehingga ke hari ini.
Tambahnya lagi, beliau bukan mahu membuang bapanya seperti yang didakwa netizen, malah beliau masih sayang kepadanya sebagai seorang bapa.
“Pasal orang cakap saya buang bapa saya, seperti yang semua orang tahu, kita tidak diberi pilihan untuk memilih siapa ibu bapa kita.
“Sebenarnya tiada istilah ‘membuang’ bapa. Macam mana saya nak buang? Sebab dia adalah darah daging saya.
“Walau apa pun terjadi, saya tidak boleh buang bapa saya. Semua anak-anak sayangkan dia. Nama saya pun selamanya akan berbintikan dia (Amir Amzah),” jelas Syada.
Sumber: Kosmo! Online