Berita baik untuk semua peminat sukan tempatan! Acara sukan mungkin akan kembali diadakan mulai bulan depan. Khususnya peminat bola sepak, hoki dan sepak takraw.
Kerajaan telah benarkan semua pasukan yang terlibat untuk mula berlatih Isnin depan! Tapi sesi latihan ni perlu diadakan dengan SOP ketat termasuklah menerusi kaedah gelembung sukan atau sports bubble.
Sebaik kerajaan mengumumkan perkara ini, Liga Bolasepak Malaysia, MFL mengucapkan terima kasih kepada Majlis Keselamatan Negara. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abd Ghani Hassan akan pastikan semua pihak mematuhi SOP yang ditetapkan pada setiap masa.
MFL juga terus keluarkan kenyataan yang saingan Liga Malaysia akan bermula pada 5 Mac. Pada awalnya, Liga-M dijadual bermula hujung Februari. Namun disebabkan pelaksanaan PKP, terpaksa la ditangguh dulu. Oleh kerana dah ditangguh, saingan Liga Malaysia musim ini agak padat kerana saingan liga akan berjalan 2 pusingan berbanding hanya satu pusingan musim lalu.
Selain itu, aksi kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Malaysia turut menyumbang kepada kepadatan jadual musim ini. Nasib baik MFL dah batalkan Piala FA kan?
Selain bola sepak, hoki juga bakal mulakan saingan bulan depan. Konfederasi Hoki Malaysia mengumumkan saingan Liga Hoki Malaysia akan bermula 11 Mac hingga 10 April. Manakala saingan Liga Hoki Wanita akan bermula 17 Mac. KHM sebelum ini pun terpaksa tangguhkan saingan liga ini disebabkan PKP.
Sukan terakhir yang bakal kembali ialah sepak takraw. Sebelum ini, saingan Piala Juara-Juara STL telah pun berlangsung di Johor Bahru. Tapi baru 2 perlawanan, Piala Juara-Juara terpaksa ditangguh. Korang pun dah tahu kan sebab apa? Tak lain tak bukan sebab PKP lah.
Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia, Datuk Seri Ahmad Ismail sahkan bahawa saingan itu akan kembali bersambung semula mulai 2 sehingga 6 Mac. Dalam tempoh itu, sebanyak 13 perlawanan akan diadakan dan akan dilangsungkan menerusi kaedah bubble. Dalam kata lain, penyokong tidak dibenarkan berada di stadium.
Semua pasukan yang terlibat dengan Piala Juara-Juara STL ini juga diberi tempoh untuk berlatih. Ye lah, dah berehat lama ni takkan tak perlukan kecergasan kan.
Semua peminat sukan tanah air mesti gembira dengan perkembangan ini kan? Tapi jangan lupa yang kita semua masih tidak dibenarkan ke stadium lagi. So, sentiasa jaga kebersihan dan patuh kepada SOP yang ditetapkan. Lagi cepat selesai masalah COVID- ni, lagi cepat lah kehidupan kita semua kembali normal. Takkan tak rindu nak pergi stadium kan?
Oleh: Karami Kamel