Penyanyi, Sufian Suhaimi tidak terasa hati apabila dipersoal oleh netizen mengapa teman wanitanya tidak bertudung sedangkan dia menjual produk bantal zikir.
Menurut Sufian, beliau turut berharap agar soal peribadinya tidak dicampur adukkan dengan soal perniagaan.
Malah katanya lagi, dia tidak pula menetapkan kriteria pasangan dan percaya jodoh serta pertemuan sebagai ketentuan takdir.
"Saya ambil maklum pandangan netizen dan buat refleksi diri atas setiap komen diberi. Saya mengharapkan yang terbaik dan jika teguran itu boleh membawa asbab kebaikan, saya terima dengan berlapang dada.
"Saya tiada kriteria pasangan dimahukan kerana jodoh itu rahsia Tuhan. Kita tidak tahu pengakhiran seseorang itu, cuma, saya berharap, perkara itu tidak dicampur aduk dengan perniagaan.
"Niat saya menjalankan perniagaan bantal zikir untuk berkongsi kebaikan melalui zikir, selawat dan ayat suci al-Quran.
"Saya harap kebaikan itu kembali kepada saya," katanya.
Sufian berkata lagi, teman wanitanya itu adalah seorang yang matang berdepan kontroversi malah keluarganya juga baik.
Dalam perkembangan lain, penyanyi itu baru-baru ini telah melancarkan single terbaharu berjudul Menggenggam Bahagia, hasil ciptaan komposer Sirkhan, Sang Hitam dan Ibnu Rinkarnaen.
Sumber: BH