Pelakon, Sophia Albarakbah tidak mahu terus dibelenggu dengan isu kontroversi yang membabitkan dirinya dengan seorang pelakon lelaki yang juga merupakan suami seseorang.
Ujar Sophia, kisah lama sudah tidak perlu diulang cerita dan biarlah ia kekal menjadi rahsia antara mereka yang terlibat sahaja supaya tidak timbul spekulasi lain.
Ditanya adakah kontroversi itu memberi impak pada karier seninya, Sophia menafikan ia sambil berkata rezeki itu adalah ketentuan Tuhan dan tiada siapa dapat melawan atau menentukannya.
“Saya rasa, baik pihak sana dan saya sendiri sudah move on. Tak perlu buka cerita lama. Apa yang jadi, biarlah kami yang terlibat sahaja yang tahu. kebenaran sebenar.
“Bagi saya, dari segi karier, rezeki itu Allah yang tentukan. Kalau ada bahagian untuk saya, maka adalah. Saya percaya itu semua takdir yang telah tertulis. Tak perlu orang lain tahu pun,” katanya.
Dalam pada itu, gadis berusia 29 tahun ini juga tidak berasa trauma untuk berlakon lagi bersama suami orang kerana baginya status seseorang itu bukanlah satu isu.
“Takkan sebab pelakon itu suami orang, saya tidak mahu bergandingan dengan dia. Bagi saya ini bukan sebab dia suami orang, tetapi individu itu sendiri. Saya terbuka untuk berlakon dengan sesiapa sahaja.
“Malah, sewaktu kontroversi ini berlaku, saya dan Aliff tetap profesional menghabiskan penggambaran. Ini adalah satu tanggungjawab dan komitmen kami. Saya tak mahu mengecewakan sesiapa.
“Sebagai anak seni, saya tak boleh lari dari semua ini. Buat atau tidak, tetap jadi satu isu. Saya perlu bersedia,” kongsinya.
Terdahulu, Sophia telah menjadi perhatian ramai selepas Bella Astillah, isteri kepada pelakon Aliff Aziz mendedahkan beliau pernah berhubung dengan Aliff dan juga menyimpan perasaan terhadapnya.
Sumber: Utusan