Kadar kebolehjangkitan (R-Naught) negara meningkat kepada 1.02 semalam.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, peningkatan itu bukanlah disebabkan varian B.1.351 tetapi sebaliknya disebabkan penularan yang berlaku di tempat kerja.
"R-naught kita melebihi 1.0 dua hari lepas, kebarangkalian kita berhadapan gelombang keempat bergantung penuh pembukaan sempadan. Varian South African (B.1.351) ada sembilan kes, walau bagaimanapun sembilan kes ini terkawal dan mereka dirawat dan dikuarantin.
"Kemampuan kita, selain beri vaksinasi, kita juga melihat kepada pematuhan SOP berterusan dalam kalangan masyarakat serta kemampuan kita pastikan aktiviti rentas negeri dan daerah dapat diminimumkan.
"Untuk itu, kita boleh kurangkan risiko jangkitan atau tempat yang boleh cetuskan wabak sentiasa kita pantau," jelasnya.
Dalam pada itu, pihaknya kini telah bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan gelombang keempat COVID-19 di negara ini.
"Sehingga 5 April, terdapat 63 buah hospital termasuk hospital universiti (disediakan untuk tujuan itu). Tujuh daripadanya adalah hospital merawat COVID-19 sepenuhnya dan 56 buah hospital lain pula adalah hibrid.
"Daripada jumlah katil keseluruhan khusus untuk (pesakit) COVID-19, sebanyak 6,775 yang digunakan setakat ini dengan kadar pengunaan sebanyak 35 peratus. Untuk Unit Rawatan Rapi (ICU) pula sebanyak 1,146 katil dengan kadar pengunaan 58 peratus," jelasnya lagi.
Tambah lagi, kebarangkalian negara untuk berdepan dengan gelombang keempat COVID-19 juga bergantung penuh dengan pembukaan sempadan negara.
Sumber: Astro Awani