Baru-baru ini, tular satu hantaran menerusi Instagram Shila Amzah yang seakan memberi bayangan hubungan cintanya bersama kekasih, Ubai, telahpun putus.
Baca: “Terima Kasih Untuk Lima Bulan Yang Indah,” Shila Amzah dan Ubai Dah Putus Ke?
Bagaimanapun menurut pemilik nama sebenar Nurshahila Amir Amzah, hubungannya bersama Ubai masih baik dan perkara itu tercetus adalah disebabkan situasi dirinya tidak baik.
“Kesimpulannya hubungan kami okey, cuma saya sahaja yang berada dalam keadaan tidak baik.
“Saya juga ingin jelaskan bahawa keadaan kurang baik itu bukan disebabkan Ubai.
“Ada masa memang saya tidak okey dan ingin menjadi diri sendiri 100 peratus,” luahnya.
Ujar Shila, tujuannya memuatnaik hantaran itu di Instagram adalah kerana ingin meluahkan rasa kasih terhadap Ubai selepas lima bulan mereka menyemai cinta.
Namun, beliau berasa pelik kerana ada pihak menganggap ayatnya itu seakan memberi bayangan hubungan mereka telah berakhir.
“Bagi saya orang sekarang ramai yang tidak sensitif dan semua orang ada jatuh bangun.
“Perkongsian saya semalam lebih kepada menghargai Ubai tetapi 95 peratus orang tidak memahami mengenai status tersebut.
“Ramai menjangka hubungan kami putus dan memutar belit apa yang saya ingin sampaikan,” jelasnya.
Malah, beliau menafikan hantaran itu dibuat untuk mengundang prasangka buruk orang ramai, lagi-lagi terhadap kekasihnya.
“Kalau kami putus, kenapa saya memuat naik gambar bersama dia (Ubai)?
“Saya bukan mahu mengundang negatif cuma perkara ini bergantung kepada cara pemikiran seseorang.
“Kalau otak negatif maka perkara positif pun akan dilihat ke arah keburukan,” demikian menurut penyanyi berusia 33 tahun ini.
Sumber: Kosmo!