Penyanyi, Shila Amzah menafikan wanita yang didakwa isteri baru bapanya, ND Lala adalah kawan baiknya.
Menurut Shila, meskipun beliau mengenali wanita yang bernama Siti Munirah, wanita itu tidak layak diberi gelaran rakan baik.
"Sudah tentu saya mengenalinya. Pada saya, tidak ada orang baik yang akan berkelakuan seperti itu. Saya tiada ucapan baik mahupun buruk kepadanya.
"Segala rasa untuk diberikan tidak memadai kepadanya sama ada sayang atau benci. Saya rasa dia tidak layak menerima apa saja rasa daripada saya," katanya.
Ujar Shila, mereka memang pernah rapat ketika bersekolah dan Siti Munirah sering tidur di rumah mereka.
“Dia selalu bercerita mengenai masalahnya kepada saya. Apabila dewasa pula kami memang sudah tidak begitu rapat kerana dia seorang yang suka menghilangkan diri.
"Saya anggap kami tiada persefahaman saja. Namun, dia lebih rapat dengan mak berbanding saya selepas tamat sekolah. Ini adalah realiti dan saya perlu perjelaskan kerana dia bukan kawan baik saya," kata Shila sambil menganggap apa yang berlaku adalah ujian ke atas keluarganya.
Dalam pada itu, Shila turut memberikan sokongan 100 peratus kepada ibunya, Fauziah Sarman dalam isu yang berlaku.
"Dalam masa sama, saya tidaklah terlalu memanjakannya. Disebabkan perkara ini pernah terjadi kepada diri sendiri, apa yang saya boleh katakan kekuatan itu perlu datang daripada diri sendiri.
"Tidak kira seberapa banyak sokongan atau kasih sayang yang diterima, kalau diri sendiri yang memilih untuk tidak menyayangi diri sendiri, maka tiada perkara baik akan terjadi. Diri sendiri perlu bersedia menerimanya.
"Sebenarnya kami sebagai anak tiada apa pun perkara buruk yang mahu diucapkan kepada ibu bapa kami. Cuma, kami doakan kalau mahu bahagia, ikutlah cara sendiri. Sebagai seorang anak, saya hanya mahu ibu bapa saya gembira tidak kira masih bersama atau tidak," katanya.
Terdahulu, ND Lala dilaporkan telah berkahwin dengan seorang wanita yang dikatakan kawan baik kepada anaknya sendiri, Shila Amzah. Malah foto wanita itu turut dikongsikan isterinya di Instagram.
Sumber: HMetro