Bekas bintang Akademi Fantasia, Shahir bakal menamatkan zaman bujang bersama pasangan pilihannya dalam satu majlis akad nikah yang akan diadakan 2 September 2022 ini di Subang Jaya, Selangor.
Shahir atau nama sebenarnya, Ahmad Shahir Zawawi, 33, berkata dia hanya akan mendedahkan mendedahkan identiti bakal isterinya pada majlis pernikahan mereka nanti.
“Nak ke fasa baharu ini sudah tentu tanggungjawab pun lebih besar kerana ia satu fasa perubahan dalam hidup…sudah tentu saya berdebar.
“Mengenai siapa bakal isteri saya biarlah tunggu majlis nikah nanti. Dia orang biasa yang berlainan bidang dengan saya dan baru berumur 30 tahun.
“Dia berasal dari Tawau, Sabah dan kami juga bertunang di sana. Namun dia menetap di sini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Shahir turut berkongsi yang mereka hanya berkenalan dalam tempoh waktu singkat sebelum memutuskan untuk hidup bersama sebagai suami isteri.
“Kami mula berkenalan pada Mei baru-baru ini iaitu selepas Aidilfitri. Tak sangka perkenalan kami dipermudahkan kerana masing-masing sedang mencari pasangan hidup.
“Kami tidak mengambil masa yang lama mungkin juga kerana faktor usia. Di awal perkenalan lagi dia sudah mengajak saya mengambil kursus kahwin untuk melihat betapa saya serius dengan hubungan kami,” ujarnya lagi.
Menurutnya, dia punya alasan tersendiri untuk mempercepatkan majlis ikatan cinta mereka itu.
“Pada saya usia perkenalan itu tidak menentukan sejauh mana kita mengenali pasangan kita. Ada yang bercinta bertahun-tahun pun bila berkahwin masih lagi ada perkara yang mereka baru tahu dan perlu fahami.
“Macam kami, memang usia perkenalan itu singkat tapi bila kami membuat keputusan untuk berkahwin…Alhamdulilah jadi urusan itu berjalan lancar dan mungkin ini jodoh yang ditentukan Allah,” tambahnya.
Terdahulu, Shahir dan bakal isteri melangsungkan pertunangan pada 16 Julai lalu di kediaman tunangnya di Tawau, Sabah.
Sumber: Astro AWANI