Kejayaan demi kejayaan diraih Shah Firdaus Sahrom dalam acara berbasikal trek! Terbaru, atlet negara itu meraih emas acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia. Shah Firdaus turut menewaskan rakan senegara, Azizulhasni Awang di tempat kedua.
Keputusan positif yang dicatat kedua-dua pelumba negara ini memberi gambaran bahawa Malaysia semakin hampir untuk meraih pingat emas pertama pada Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan. Azizulhasni tidak tolak kemungkinan Shah Firdaus mampu meraih emas pada temasya itu nanti berdasarkan prestasi semasanya. The Pocket Rocketman itu juga membuat persamaan terhadap rakan sepasukannya itu dengan juara All England baru-baru ini, Lee Zii Jia berdasarkan potensi yang dimiliki Shah Firdaus.
Jaguh berbasikal trek dunia itu muat naik status di laman Facebooknya mengatakan Shah Firdaus melaksanakan taktikal yang sempurna pada aksi final tersebut. Jijoe juga amat gembira dengan pencapaian rakan senegaranya itu biarpun dia sendiri hanya meraih perak. Sedangkan dia menjuarai acara tersebut sebelum ini dengan Shah Firdaus meraih gangsa.
Walaupun Shah Firdaus mungkin berada pada prestasi terbaik dalam kariernya, pelumba negara itu seakan masih belum berpuas hati. Berdasarkan status Facebooknya, Shah Firdaus masih belum berpuas hati dengan kayuhan dan pecutannya pada aksi final keirin baru-baru ini. Dia merasakan yang dia mampu lakukan lebih baik daripada itu. Bayangkan kalau belum pada tahap terbaik pun dah menang emas, kalau dah tahap terbaik nanti nak menang apa?
Kedua-dua atlet ini diletakkan sandaran tinggi untuk meraih pingat pada temasya Olimpik nanti. Berdasarkan prestasi semasa, nampak macam peluang tu cerah. Latihan yang dirancang oleh ketua jurulatih negara, John Beasley juga nampak mula membuahkan hasil. Latihan yang diterapkan Beasley adalah untuk memastikan prestasi kedua-dua atlet negara ini akan mencapai kemuncak pada temasya itu nanti.
Sama-sama kita doakan Azizulhasni dan Shah Firdaus Sahrom mampu mencapai sasaran mereka nanti. Mana lah tahu rezeki mereka pada temasya itu untuk meraih emas pulak kan? Berdasarkan kejayaan yang telah mereka peroleh, bukan acara keirin sahaja yang mampu mereka raih pingat, acara pecut individu pun ada kemungkinan untuk meraih pingat. Fuh, tak sabar betul nak tengok mereka beraksi di Tokyo nanti!
Oleh: Karami Kamel