‘‘Separuh Hati Saya Dikebumi Bersama Jasad Adik Afiq..’’ - Penderma Hati Pertama Negara

Penderma hati pertama negara, Wan Hafizam Wan Ismail, 45, memaklumkan beliau berasa gelisah hingga tidak dapat tidur lena sejak beberapa minggu lalu selepas mengikuti perkembangan kesihatan Mohd Afiq Ikmal Muhammad Zaini, 23.

‘‘separuh hati saya dikebumi bersama jasad adik afiq..’’ - penderma hati pertama negara
 
Menurut Wan Hafizam, beliau terkejut dan sebak sebaik sahaja menerima panggilan daripada bapa Mohd Afiq yang memaklumkan anaknya itu telah meninggal dunia semalam.
 
Katanya lagi, meskipun Afiq kini telah tiada, hubungannya bersama keluarga arwah tidak akan putus sambil menceritakan kenangan bersama Afiq selepas proses pemindahan hati 23 tahun yang lalu.
 
"Antara kenangan yang tak dapat dilupakan apabila melihat wajah ibu bapa Mohd Afiq tersenyum melihat anak mereka sihat selepas proses pemindahan hati 23 tahun lalu.
"Itu kepuasan yang tak boleh saya nak gambarkan dan tak boleh saya nak cerita macam mana seronok saya ketika itu,” katanya.

‘‘separuh hati saya dikebumi bersama jasad adik afiq..’’ - penderma hati pertama negara
 
Beliau yang turut hadir semasa pengebumian Allahyarham, tidak sama sekali akan lupa detik mendebarkan dalam proses pemindahan hati yang pertama kali dilakukan di negara ini.
 
“Separuh daripada hati saya dikebumi bersama jasad adik Mohd Afiq Ikmal hari ini..."
 
Beliau juga meluahkan rasa bangga kerana menderma hatinya kepada Afiq kerana arwah adalah seorang yang baik, malah jururawat yang menjaganya turut memuji akhlaknya.
 
"Bila hati kita ini dibawa pergi mengadap Allah sedang kita ini masih ada setengah di sini, jadi sedikit sebanyak benda tu terasa... rasa takut sebab kita ini tahu kita ini siapa.
"Tapi rasa bangga kerana adik Mohd Afiq ni cukup baik... kerap bantu orang, malah kerap memberi sokongan dan berkongsi pengalaman dengan pesakit hati yang ada masalah kesihatan," katanya.


Mohd Afiq Ikmal Muhammad Zaini yang menjalani prosedur pemindahan hati pertama di negara ini ketika usianya 14 bulan, sebelum ini dilaporkan kritikal dan dimasukkan ke Hospital Selayang sejak 13 Februari lalu, telah meninggal dunia pada Selasa, 2 Mac.
 
 
Sumber: Astro Awani