Baru-baru ini nama pelakon, Ruhainies adalah antara yang dipetik kononnya terlibat dalam satu siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), sehinggakan ia membimbangkan ahli keluarganya sendiri.
Bagaimanapun menurut Ruhainies, tiada apa yang perlu dibimbangkan memandangkan dirinya bersih daripada sebarang aktiviti haram seperti itu.
Menurut pemilik nama sebenar Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 31, orang luar dan peminat boleh melihat sendiri kesibukkannya mencari rezeki halal dengan memenuhi tawaran penggambaran dan turut terlibat sebagai duta untuk beberapa jenama, seperti dikongsikannya melalui media sosial.
“Sebenarnya saya pun ada dengar mengenai gosip seorang artis wanita berkulit gebu dan mengamalkan gaya hidup mewah sedang disiasat bawah Kes AMLA.
“Awalnya saya tak peduli sebab kita tiada kaitan sampailah ada peminat DM (mesej langsung), begitu juga dengan kawan-kawan ada bertanya sebab pembayang diberi putih-putih gebu.
“Bila sebut gebu itu yang buat orang ‘petik’ nama saya serta beberapa lagi selebriti lain termasuk Daiyan Trisha, cuma gaya hidup mewah bukan sayalah sebab saya biasa-biasa saja,” katanya.
Tambah Ruhainies, beliau berharap agar pihak yang menyebarkan berita palsu itu tidak memberi bayangan mengelirukan sehingga mencetuskan tuduhan terhadap mereka yang tidak bersalah.
Katanya, meskipun dirinya tiada kaitan dengan dakwaan tersebut, ia sedikit sebanyak merisaukan keluarganya sendiri.
“Memang orang paling risau tentu keluarga tapi mereka pun faham kebiasaannya khabar seperti ini hanya bagi bayangan, tetapi kalau betul dan pihak berwajib sudah sahkan boleh saja sebut nama.
“Jadi tidaklah sesiapa yang seakan-akan sama dengan bayangan diberi terpalit sama. Contoh macam kes AMLA itu, katalah ada 10 artis yang kulit putih, memang senarai ini dicop ada kaitan tanpa usul periksa.
“Saya pun tak mahu ulas panjang, cuma tahu kalau kita tak bersuara nanti disangka memang individu terbabit. Jadi saya tegaskan bukan saya,” ulasnya.
Selain Ruhainies, aktres, Daiyan Trisha turut disebut-sebut sebagai selebriti dalam kes jenayah ini, namun Daiyan meminta orang ramai tidak membuat tuduhan dan andaian seperti itu jika tidak tahu kebenarannya.
Baca: “Fitnah Itu Lebih Berdosa Dari Membunuh,” Daiyan Trisha Kesal Nama Dipetik Netizen
Terdahulu, tular berita mengenai seorang artis terkenal yang disyaki terbabit dalam penggubahan wang haram dan kini disiasat BNM.
Sumber: Kosmo!