Seorang remaja menemui maut selepas terperangkap di dalam tandas awam di Bandar Puncak Alam Fasa 3 gara-gara dua kawannya yang bermain api.
Menurut Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa'aton Abu Bakar, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 2.38 petang pada 28 Ogos.
“Menurut rakan mangsa iaitu dua remaja lelaki masing-masing berusia 15 dan 16 tahun, ketika kejadian mereka sedang baring di atas sofa di dalam tandas berkenaan.
“Kebakaran bermula apabila dua rakan mangsa bermain api di hadapan pintu tandas berkenaan sebelum api menjadi tidak terkawal,” katanya.
Mangsa berusia 16 tahun itu dikatakan tertidur di atas sofa di dalam tandas berkenaan. Dia bagaimanapun terjaga ketika kejadian.
“Rakannya sempat menyuruh mangsa untuk keluar dari tandas itu, namun remaja lelaki terbabit baring semula di situ.
“Melihat api yang tidak dapat dikawal, dua rakan mangsa cuba membantu memadamkan kebakaran, namun api semakin besar dan gagal dipadamkan sehingga pihak bomba tiba di lokasi kejadian,” katanya.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati tiada objek yang menghalang mangsa untuk keluar dari lokasi kejadian.
“Tandas yang terbakar itu tidak mempunyai pintu dan mangsa lari untuk menyelamatkan diri. Pemetik api yang digunakan dalam kejadian itu turut terbakar di lokasi kejadian.
“Pemeriksaan di lokasi terbabit mendapati tiada sebarang unsur jenayah. Lokasi kejadian iaitu tandas awam berkenaan sudah lama tidak digunakan dan dalam keadaan terbiar,” jelasnya.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.
Sumber: HMetro