Tiga Tahun Berkenalan, Radhi OAG Belum Rancang Nikahi Kekasih, “Biar Dia Habis Belajar Dulu..”

Penyanyi dan juga vokalis kumpulan OAG iaitu Radhi memaklumkan beliau belum ada perancangan untuk mendirikan rumah tangga buat kali ketiga bersama kekasihnya yang juga seorang pelajar di sebuah universiti awam, selepas tiga tahun perkenalan mereka.

tiga tahun berkenalan, radhi oag belum rancang nikahi kekasih, “biar dia habis belajar dulu..”

Menurut pemilik nama sebenar Muhammad Radhi Razali, 46, buat masa ini beliau mahu memberi ruang kepada kekasihnya yang berusia 22 tahun untuk menamatkan pengajiannya terlebih dahulu, selain juga mahu memberi fokus menerbitkan album terbaharu pada masa depan.

 

Malah, beliau juga enggan memperincikan hal berumahtangga kerana tidak tahu apa yang akan terjadi di masa hadapan.

 

“Buat masa sekarang belum ada perancangan untuk bernikah. Biarlah si dia habiskan belajar dahulu.

“Kami hanya berserah kepada Allah SWT. Kalau Allah suruh sabar dulu, kami sabar, itu sahaja.

“Perkara begini (perancangan untuk berkahwin), kita tidak boleh cakap banyak sebab tidak tahu lagi bagaimana. Biarkan dia habis belajar dan buat ibu bapanya gembira.

“Begitu juga saya. Kalau Allah gembira dengan kerja saya, maka Insya-Allah akan ada ke arah perkahwinan.

Tapi sebelum berkahwin buat kali ketiga, saya mahu keluarkan album sebab dua perkahwinan sebelum ini, saya langsung tidak sempat hasilkan sebarang album. Jadi kalau saya kahwin dulu, memang akan lambatlah untuk keluarkan album nanti,” katanya.

 

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan nama OAG yang sebelum ini dikenali sebagai Old Automatic Garbage dan juga Orang Asia Genius telah ditukar kepada Only Allah Greatest. Ujarnya, perubahan nama itu adalah tepat dengan konsep album yang akan dibawa kumpulan itu nanti yang memuatkan lagu berunsurkan kerohanian.

tiga tahun berkenalan, radhi oag belum rancang nikahi kekasih, “biar dia habis belajar dulu..”

“OAG kini dikenali secara rasmi sebagai Only Allah Greatest. Kami akan terus berkarya tetapi dengan mengetengahkan muzik dan zikir. Bagi saya, muzik tak salah sekiranya bawa dalam keadaan baik.

“Kami akan jalankan sesi rakaman pada Januari depan dan lagu Soulawatt akan jadi single pertama dalam album ini. Tahun depan boleh disiapkan. Kami akan buat sebanyak tiga fasa rakaman,” katanya lagi.

 

Untuk info, Radhi sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama Shazlin Sharif pada 1 Jan 2005, namun berpisah pada 8 Jun 2010. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Rifdi Muslim yang kini berusia 17 tahun.

 

Radhi kemudian berkahwin kali kedua bersama Nur Shahira Ayu Zahiri pada 14 April 2014, namun berpisah pada 16 Julai 2019. Menerusi perkahwinan ini, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Nur Aisyah dan Muhammad, yang masing-masing kini berusia lapan dan enam tahun.

 

Sumber: HIB Glam