Pelakon remaja yang kini berusia 14 tahun, Qistina Raisah mengakui pernah dibuang sekolah ketika berada dalam darjah satu akibat sering ponteng.
Menurut pemilik nama sebenar Nur Qistina Raisah Mohd Kamarol Azri, dia hanya sempat hadir ke sekolah selama 10 hari, sebelum dibuang atas alasan kerap tidak hadir ke sekolah.
Ujarnya, ia adalah kerana dia terlalu sibuk menjalani penggambaran drama dan beberapa program televisyen lain.
“Saya memang tidak ada pengalaman duduk di kantin sekolah. Sebab saya hanya pernah pergi ke sekolah selama 10 hari sahaja ketika darjah satu.
“Selepas itu saya dibuang sekolah sebab selalu tak datang.
“Saya banyak tidak datang sekolah sebab terlalu sibuk dengan penggambaran drama termasuk beberapa program televisyen,” katanya.
Tambahnya lagi, sejak dibuang daripada sekolah, dia mula mendapatkan pendidikan di rumah (homeschooling) sehingga sekarang.
Selain mempelajari subjek asas, Qistina turut mengikuti pelbagai kelas lain seperti Bahasa Mandarin dan juga muzik (gitar).
“Saya pernah daftar sekali lagi masuk ke sekolah ketika berusia 12 tahun (darjah enam) untuk menduduki (UPSR), tapi PKP (Perintah Kawalan pergerakan) pula.
“Selepas itu saya dapat ‘job’ ke Itali untuk penggambaran bersama Zul Ariffin dan Neelofa. Cikgu pula ingat saya pergi bercuti, kena buang terus (lagi sekali).
“Cikgu (homeschool) akan datang ke rumah mengikut jadual saya. Satu sesi akan mengambil masa antara empat hingga ke lima jam,” katanya.
Qistina turut berkata, beliau percaya perjalanan hidupnya untuk membina karier dan nama dalam bidang seni sudah diaturkan Allah SWT.
“Saya memang teringin untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke luar negara. Tetapi itu impian ketika kecil.
“Apabila sudah semakin dewasa, saya mula sedar bahawa Tuhan sudah menetapkan tanggungjawab (bekerja) saya begini.
“Ada orang sudah belajar tinggi-tinggi pun, belum tentu boleh berjaya. Jadi saya pada usia muda sudah bina karier dan nama dalam bidang seni, jadi saya teruskan sahaja,” ujarnya.
Sumber: Kosmo! Online