Pelakon, Qasrina Karim mendedahkan pernah menerima mesej berbaur amaran daripada peminat aktor Mierul Aiman.
Menurut pemilik nama sebenar Qasrina Abdul Karim, mesej yang diterima di Instagram meminta agar dirinya tidak terlalu rapat dengan bintang drama Projek: High Council itu.
“Ada segelintir yang mesej dan marah serta memberi amaran melarang saya ambil Mierul daripada mereka.
“Mungkin sebab cemburu saya berlakon bersama Mierul dalam drama Imam Instant Ustazah Scammer (IIUS). Tak mengapa saya faham,” katanya.
Ujar Qasrina lagi, beliau memahami situasi tersebut memandangkan Mierul mempunyai kelompok peminat yang ramai.
Dalam masa sama, Qasrina turut tidak menafikan ada peminat yang mahu melihat dia dan Mierul benar-benar bercinta.
“Apa pun saya faham dia mempunyai peminat yang sangat ramai. Saya ada juga terbaca permintaan peminat mahu kami bersama.
“Jangan risau, saya tak akan ambil dia, kami hanya kawan dan bekerja bersama dalam drama tersebut,” ujarnya.
Drama Imam Instant Ustazah Scammer arahan Hadith Omar, turut dibintangi oleh Mira Filzah dan Hun Haqeem, ditayangkan di Astro Ria bermula 5 Mac lalu. Drama ini mengisahkan tentang Effa (lakonan Mira Filzah) yang sanggup menyamar menjadi ustazah dan menipu tentang latar belakangnya demi membayar hutang. Namun, kerana asyik dikejar Ahlong, dia nekad melarikan diri ke Kampung Ramadan dan bertemu dengan Imam Asyraf (Hun Haqeem), seorang influencer yang viral kerana alunan suara ketika mengajinya yang cukup merdu. Imam Asyraf (lakonan Hun Haqeem) telah dilantik oleh Tok Jamlus (lakonan Usop Wilcha) untuk menjadi imam sepanjang tarawikh Ramadan ini. Kehadiran Effa ke kampung itu juga telah membuatkan Asyraf mula mengesyaki sesuatu.
Sumber: Kosmo!