Jika Syamsul Enggan Cerai, Puteri Sarah Boleh Guna Cara Lain

Semalam, isteri pertama kepada pengarah sensasi, Syamsul Yusof iaitu Puteri Sarah Liyana telah memfailkan penceraiannya bersama suami di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.

jika syamsul enggan cerai, puteri sarah boleh guna cara lain

Menurut peguam syarie yang mewakili Puteri Sarah, proses tuntutan cerai boleh diteruskan meskipun Syamsul enggan melepaskan Puteri Sarah pada hari sebutan kes yang ditetapkan pada 7 Mac depan.

 

Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, mengikut prosedur jika Syamsul hadir pada 7 Mac itu dan bersetuju untuk melafazkan cerai, maka penceraian antara mereka boleh berlaku.

 

Sebaliknya jika Syamsul enggan, peguam Syarie itu berkata mereka akan usahakan ke peringkat kedua di mahkamah sama yang mana kes mereka akan dirujuk kepada Jawatan Kuasa Pendamai (JKP).

 

"Pada peringkat ini, wakil kedua-dua pihak akan cuba mencari jalan. Kalau berjaya, kita akan teruskan perceraian. Jika gagal, kita rujuk pula kepada hakam keluarga.

"Jika masih gagal, kita beralih pula kepada hakam mahkamah di mana dalam kes di mana defendan masih enggan (lepaskan), kuasa untuk melafazkan cerai diberi kepada mahkamah yang mewakili plaintif," katanya.

 

Ujar peguam itu lagi, pihak mereka akan menggunakan saluran undang-undang jika Syamsul enggan menceraikan Puteri Sarah.

 

Terdahulu, Syamsul dan Puteri Sarah telah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua orang cahaya mata. Bagaimanapun berlaku konflik rumahtangga antara mereka selepas kehadiran Ira Kazar yang kini juga sah sebagai isteri kedua Syamsul Yusof.

 

Sumber: BH