Baru-baru ini, kecoh di media sosial selepas kumpulan wanita tanah air, The Gadys dikatakan gagal menyanyikan dengan baik semasa membuat persembahan dalam sebuah acara secara langsung yang turut ditayangkan di kaca TV.
Nyanyian kumpulan yang dianggotai tiga ahli The Gadys iaitu Aznie Azmi, Ayunie Rizal dan Thamiera Cahn, teruk dikecam warganet, hingga menyebabkan pengurusan mereka tampil membuat penjelasan.
Menurut wakil syarikat, petugas belakang tabir dikatakan tersalah meletakkan ‘key’ atau nada lebih tinggi berbanding ‘key’ asal yang sepatutnya melatari persembahan mereka pada malam itu.
“Apa yang berlaku sebenarnya ada sedikit kesilapan teknikal. Sewaktu latihan, mereka menggunakan minus one yang berbeza dengan ‘key’ lebih rendah.
“Namun, pada hari kejadian, pihak produksi menggunakan minus one mereka dengan ‘key’ yang lebih tinggi.
“Apa-apa pun kami tak salahkan produksi dan mengakui kesilapan daripada The Gadys sendiri,” katanya kepada Kosmo!.
Bagaimanapun The Gadys menerima kritikan yang dilemparkan dan akui kesilapan itu serta akan berusaha untuk memantapkan lagi vokal dan persembahan mereka.
Sumber: Kosmo!