Penyanyi dan pelakon, Alif Satar akui terkejut dan terharu dengan sambutan baik yang diterimanya menerusi ‘Projek Geng Subuh Macam Jumaat’, yang digerakkannya bagi mengajak lebih ramai orang menunaikan solat Subuh secara berjemaah di masjid.
Menurut Alif, kesedaran itu timbul selepas seorang ustaz mengatakan cara untuk menang lawan rejim Israel adalah dengan menguatkan benteng rohani menerusi solat Subuh berjemaah di masjid.
“Dalam kelas agama, ada seorang pelajar tanya ustaz, macam mana cara kita nak menang menentang Israel. Ustaz kata, solat subuhlah di masjid.
“Macam mana nak menang lawan Israel kalau mengantuk pun kita takut? Kata ustaz lagi, kita boleh berarak beribu-ribu orang, tapi kalau subuh tidak ramai, tiada apa-apa yang terjadi.
“Kata-kata itu begitu menginsafkan sebab saya sangat terkesan dengan isu yang terjadi di Palestin. Saya mulakan dengan diri sendiri dahulu.
“Saya tidak mahu hanya bercakap di media sosial tentang Palestin, tapi juga bersolidariti di masjid sesuai dengan pesan nabi untuk solat subuh di masjid berjemaah.
“Selepas saya melakukannya, kemudian barulah saya ajak ramai-ramai untuk solat subuh berjemaah sekali. Kata orang, contoh melalui teladan,” katanya.
Menerusi hashtag #GengSubuhMacamJumaat di Instagram, Alif mengajak pengikutnya di laman sosial untuk turut bersama menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid Saidina Umar Bukit Damansara, minggu lalu.
“Alhamdulillah, masjid nampak lebih muda sekarang. Ada yang sanggup tidur di masjid pada malam sebelum untuk subuh berjemaah bersama.
“Ada datang dari jauh semata-mata ingin solat di masjid kawasan rumah saya di Bukit Damansara. Ia membuatkan saya terfikir untuk pergi ke kawasan masjid sekitar Lembah Klang pula.
“Saya sangat terkejut impaknya sampai ada pengikut di Indonesia, Australia dan Turki turut ikut kempen ini. Pelajar universiti turut buat kempen subuh berjemaah di kampus masing-masing.
“Saya sangat bersyukur. Kempen ini bukan tentang saya, tapi tentang semangat anak muda yang turun berjemaah ke masjid,” kata Alif lagi.
Sumber: Utusan / Instagram