Pakar motivasi terkemuka, Datuk Prof. Dr. Muhaya Mohamad berkata beliau kurang setuju tentang kebanjiran konsert artis antarabangsa di Malaysia hingga menyebabkan orang ramai menjadi ralik dengan keseronokan dunia.
“Saya pun suka berhibur, tetapi saya berhibur dengan suami. Saya menyanyi di rumah sahaja”.
Jelasnya, seseorang itu tidak sepatutnya menghabiskan masa dengan perkara yang sia-sia.
“Apa-apa yang Allah tidak reda, saya tak setuju. Salah satu tanda Allah SWT sayangkan seseorang apabila dia (umat) tidak menghabiskan masa dengan perkara yang sia-sia.
“Perkara yang sia-sia itu ialah perbuatan yang tidak memberatkan timbangan di padang Mahsyar nanti. Malaikat sentiasa mencatat perbuatan kita.
“Sebelum buat sesuatu perkara, kita harus fikirkan lima pilihan iaitu iman atau nafsu, syurga atau neraka, taat atau maksiat, dosa atau pahala dan Allah reda atau Allah murka,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun berkata dia hanya memberi pandangan secara peribadi dan bukannya berniat untuk menghakimi sesiapa.
“Berkenaan dengan hukum, saya tidak mahu komen apa-apa. Saya serahkan pada mereka yang lebih arif,” ujarnya.
Sumber: Kosmo