‘Kembar Siam’ - Anak Penyu Berkepala Dua Ditemui Di Terengganu

Seekor anak penyu berkepala dua ditemui di pusat penetasan penyu yang terletak di Tanjong Jara Resort, Terengganu baru-baru ini.

‘kembar siam’ - anak penyu berkepala dunia ditemui di terengganu

Menurut Pengurus Projek Konservasi Lang Tengah Turtle Watch di Tanjong Jara Resort, Abidah Zaaba, dia dan beberapa sukarelawan lain menemui penyu yang dipercayai menetas tiga hingga lima hari sebelum itu semasa melakukan pemeriksaan sarang.

“Sarang tersebut mempunyai 110 biji telur dan hanya 89 biji telur yang menetas termasuk penyu yang berkepala dua ini.

“Pada awalnya, kita ternampak badan dan kepala penyu di celah-celah pasir yang cuba keluar dari sarang. Kami ingat ia macam penyu biasa namun, agak terkejut bila keluar seluruh anggota badan, rupa-rupanya anak penyu tersebut mempunyai dua kepala,” ujarnya.

Kata Abidah, ia merupakan penemuan pertama seumpamanya yang hidup di pusat penetasan terbabit sejak ia mula beroperasi kira-kira enam tahun lalu.

“Pada Jun tahun lepas, kami turut menemui anak penyu berkepala dua yang telah mati daripada sebiji telur penyu agar yang tidak berjaya menetas. 

“Kali ini, Alhamdulillah kami jumpa penyu dua kepala yang hidup dan ia adalah kejadian yang jarang berlaku,” kongsinya.

Bagaimanapun, mereka tidak mempunyai kelengkapan dan kepakaran untuk menguruskan anak penyu itu.

Oleh itu, ia telah diserahkan kepada Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Rantau Abang untuk penjagaan lanjut.

“Kita harap penyu ini akan bertahan dan hidup lebih lama sebab lazimnya, haiwan yang berkepala dua jangka hayatnya pendek kerana sukar untuk diselaraskan pergerakannya bila mempunyai satu badan, tetapi dua kepala,” ujarnya.


Sumber: Utusan