Siapa sangka rezeki seorang pesawah dari Pasang Sanai di Padang Terap dekat Kedah yang menerima suntikan vaksin COVID-19 telah juga membawa pulang hadiah motosikal.
Ia selepas beliau menjadi penerima vaksin COVID-19 yang ke-49,400 di daerah tersebut pada Ahad.
Mohd Isham Md Isa, 44, menerima hadiah tersebut yang disumbangkan Ahli Parlimen Padang Terap yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Menurutnya, beliau terkejut selepas dimaklumkan menang hadiah tersebut selepas menerima suntikan vaksin.
"Saya memang sedang mengumpul wang untuk membeli motosikal baharu sejak beberapa tahun lepas. Motosikal terpakai yang saya beli sejak lima tahun lepas digunakan untuk ke sawah padi dan semakin uzur.
"Tidak sangka pula mendapat rezeki sebegini. Saya akan menggunakan motosikal ini untuk berulang alik mendapatkan rawatan masalah kesihatan saya di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB)," katanya.
Menurut ahli parlimen Padang Terap itu, sumbangan iini diberikan sebagai tanda meraikan kejayaan semua pihak dalam usaha mencapai sasaran pemberian vaksin COVID-19 di daerah ini.
Angka 49,400 juga dipilih kerana ia ia merupakan jumlah penduduk berusia 18 tahun ke atas dalam daerah Padang Terap yang layak divaksinkan berdasarkan bancian dilakukan pada tahun 2010.
Sumber: Sinar Harian / Pejabat Daerah Dan Tanah Padang Terap