Pelakon muda yang kini semakin dikenali ramai, Qistina Raisah akui tidak pernah mengambil hati apabila menerima kecaman dek kerana penampilannya yang dikatakan tidak sesuai dengan usia.
Menurut pelakon berusia 14 tahun ini, beliau sudah bersedia dari segi mental untuk berhadapan dengan sebarang kecaman serta kritikan yang kadang kala sengaja dicipta untuk menjatuhkan semangatnya dalam industri seni.
“Emak saya dah ajar, macam mana bagus atau baik pun kita pasti akan ada yang tidak berpuas hati. Lebih baik saya tidak membaca komen-komen sebegitu.
“Saya tahu, sebagai artis, ini adalah jalan yang saya perlu lalui. Privasi itu sukar sekali dicapai. Cuma, kalau boleh janganlah melampau dan keterlaluan. Ada yang kecam ibu bapa dan keluarga.
“Ibu saya adalah pengkritik tegar. Sebelum memuat naik sebarang gambar atau video, saya perlu mendapatkan kebenaran dia. Jadi, tidak perlu kecam lebih-lebih,” katanya.
Penampilan Qistina telah mendapat kecaman ramai pihak kerana dikatakan tidak sesuai untuk gadis muda sepertinya, malah turut dikatakan terlalu seksi.
Dek kerana kecaman serta kontroversi yang melanda dirinya, beliau akui telah hilang ramai kawan yang turut bersama netizen memberikan kecaman kepadanya.
“Apabila terjadi isu tersebut, kawan jadi lawan. Masing-masing tunjuk perangai dan kecam serta fitnah saya. Itu lebih menyedihkan, pada masa sama menjadi pengajaran untuk saya.
“Tidak semua yang nampak baik, manis depan kita akan ada apabila kita berdepan masalah. Kadang kala, mereka yang terlebih dahulu menabur fitnah dengan alasan kami kenal rapat,” kata Qistina.
Sumber: Utusan