Penyanyi, Sharifah Zarina berkongsi kisah mengenai pembantu rumahnya yang baru sahaja diambil namun telah melarikan diri.
Menerusi perkongsian di Instagram, pembantu rumah itu yang juga seorang pekerja asing telah diambilnya menerusi agensi untuk bekerja pada jam 10 malam kelmarin.
Namun selepas hanya beberapa jam diambil bekerja, pembantu rumahnya bernama laila Arafa telah melarikan diri dengan memanjat pintu pagar rumah sekitar jam 4 pagi.
"Tak tahulah nak marah ke nak gelak. Ambil pukul 10 malam tadi...pukul 4 pagi udah kabur (lari) deh...
"Mau kemana kamu? Udah ada yang nungguin (menunggu) ya? Tak apalah bukan rezeki saya. Harap-harap tak adalah apa-apa barang yang dicuri," kata penyanyi itu menerusi hantaran di Instagram.
Sharifah Zarina turut meluahkan rasa lega kerana kejadian itu berlaku tanpa dia sempat membuat bayaran kepada agensi pekerja asing.
"Nasib baik. Kalau tak... memang naya dibuatnya. Saya upkan (kongsikan) ini untuk peringatan pada semua mana tahu kalau dia muncul untuk jadi pembantu rumah di rumah anda.
"Jadi berhati-hatilah. Susah sungguh nak ambil pembantu rumah sekarang ye. Gaji RM1,500 (permulaan) pun nak lari. Lepas tiga bulan naik lagi gajinya. Dah la saya ini bukannya ada anak kecil. Semua dah besar buat hal masing-masing.
"Saya cakap kat dia sapu rumahnya seminggu sekali cukup. Cuci toiletnya seminggu dua kali aja ya udah. Jangan fikir-fikir sangat buat kerja rumah," katanya.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Langit Ke Tujuh ini juga sudah memaklumkan kepada wanita terbabit sekiranya tidak serasi bekerja agar memberitahunya supaya dia dapat memulangkan kepada agensi semula.
"Tapi dia tetap juga nak lari pada subuh hari. Agaknya kamu nak ditularkan. Terima kasih ya transit di rumah saya. Oh...tuala saja dia kebas (curi) setakat ini," tulisnya.
Sumber: Instagram Sharifah Zarina