Selepas dua kali dijangkiti wabak COVID-19, pelakon dan pengacara Nabila Huda mendedahkan paru-parunya kini sudahpun berparut.
Bagaimanapun menurut doktor, ia tidak mendatangkan masalah atau komplikasi serius namun perkara itu nyata membimbangkannya.
Ujar Nabila Huda di Twitter, parut itu jelas kelihatan dengan saiz kecil pada bahagian atas paru-parunya.
"Paru-paru ada parut disebabkan COVID-19. Tapi tak besar, kecil saja di bahagian atas. Doktor cakap tiada apa-apa, tapi bila organ kita dah cacat sedikit, saya jadi risau sebab dah tak sempurna macam dulu.
"Lagipun organ kita dijadikan sempurna, tapi kalau dah kacau sikit mungkin boleh pergi ke arah penyakit lain. Itu yang saya fikir. Tapi tidaklah terlalu risau. Reda dan teruskan hidup macam biasa. Katanya tiada apa yang boleh kembalikan dan menjadi sempurna seperti dulu. Parut itu kekal ada di situ," tulisnya dalam satu ciapan di Twitter.
Ujar pemilik nama sebenar Nur Nabila Huda Suhaimi lagi, beliau mengambil serius jika ia melibatlan tahap kesihatannya selain memikirkan risiko yang bakal terjadi.
"Saya kalau benda macam kena-mengena dengan dalaman ini saya sangat risau. Sebagai contoh, kita potong usus atau apa saja, saya selalu terbayang jika saiz itu diubah dan itulah kejadian asalnya, apa kesan yang bakal berlaku apabila sudah tua nanti.
"Perkara itu pun saya dah berfikir jauh, inikan paru-paru ada parut. Tapi apapun saya reda sebab dah tertulis perjalanan hidup kita begini. Sakit itu pasti akan datang. Tapi berdoalah kita dijauhi sakit yang kita tak boleh nak kawal.
"Namun, perkara yang paling menarik selain terdapat parut di paru-paru yang buat saya risau, doktor maklumkan anggota dalaman lain seperti buah pinggang, hati, jantung, darah dan kolestrol semuanya 'cantik'," katanya.
Sumber: Twitter