Demi membeli Jalur Gemilang bersempena ulang tahun kemerdekaan ke-65 yang bakal tiba tak lama lagi, penduduk Orang Asli di Kampung Pasir Linggi, Kelantan sanggup menyimpan wang mereka selama sebulan.
Kongsi salah seorang penduduk Orang Asli di kampung itu yang dikenali sebagai Zakaria Abdullah, 55, dia telah menabung sejak Julai lalu lagi untuk membeli Jalur Gemilang dan memasang ia di kawasan rumahnya bagi menyemarakkan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara tahun ini.
“Kami sedar tidak mudah untuk rakyat merasai nikmat keamanan yang ada sekarang tanpa perjuangan pemimpin terdahulu.
“Sebab itulah kami sanggup menabung bagi memastikan Jalur Gemilang dapat dipasang di kawasan rumah,” katanya.
Dalam pada itu, Penghulu Kampung Machang, Mohd. Azman Talib @ Bolek berkata, walaupun perkampungan mereka terletak lebih kurang 100 kilometer dari bandar Gua Musang, mereka bagaimanapun tetap bersemangat menanti tarikh keramat 31 Ogos yang akan tiba hanya beberapa sahaja lagi.
“Aktiviti membeli dan mengibar bendera ini hanyalah usaha kecil kami sebagai rakyat berbanding pejuang dahulu yang menitis keringat dan darah untuk mempertahankan negara.
“Setiap tahun, keluarga Orang Asli di sini akan menabung serta membeli bendera untuk memasangnya di rumah mereka,” katanya.
Sumber: Utusan