Pasangan duet popular, Nuha Bahrin dan Naufal Azrin berkata mereka setuju dengan perkahwinan awal di usia muda demi mengelakkan masalah sosial dan maksiat.
Menurut Nuha, 22, berkongsi pendapat yang golongan remaja perlu mempersiapkan diri mereka khususnya dari segi pendidikan terlebih dahulu, sebelum melangkah ke dalam dunia perkahwinan.
“Saya menggalakkan kahwin awal bagi mereka yang dah bersedia. Kalau dah sedia untuk berkahwin, umur itu tak kisah pun berapa. Cuma kalau yang masih bersekolah itu agak tak sesuai. Tapi kalau atas persetujuan keluarga okay saja. Kalau mereka okay kenapa tidak, kita nak elakkan maksiat.
“Secara peribadinya, saya jenis orang yang mengambil berat mengenai pendidikan jadi kalau nak kahwin boleh tapi atas persetujuan keluarga. Tapi kalau boleh habiskan sekolah dulu dan kalau nak kahwin lepas itu tiada masalah," ujarnya.
Dalam pada itu, Naufal, 23, berkata persediaan dari segi kewangan, mental dan fizikal adalah aspek yang perlu diambil kira sebelum memasuki dunia itu.
Dia bagaimanapun, mengaku mempunyai kawan yang kahwin muda dan kini baik-baik sahaja dalam menempuh kehidupan berpasangan itu.
“Saya setuju saja kahwin muda tapi kena betul-betul bersedia. Bersedia dari segi kewangan, dalaman dan fizikal. Selepas itu, budi bicara dengan orang macam mana kena jaga. Saya bukan tak sedia, tapi masa itu belum tiba lagi. Saya nak utamakan keluarga dulu.
“Kawan lelaki saya yang umur 22 dan sebaya saya pun ada yang dah kahwin. Mereka okay saja,” ujarnya.
Sumber: HMetro