Pelakon, Nora Danish mendedahkan beliau mempunyai pengawal peribadi atau bodyguard, yang dipasang suaminya, Nedim Nazri Aziz, sejak tujuh tahun lalu.
Menurut Nora, suaminya yang bimbang akan keselamatannya di luar rumah membuatkan dia sering diiringi pengawal peribadi yang juga merangkap pemandunya.
“Saya ada ‘bodyguard’ ini sebenarnya sejak berkahwin dengan suami iaitu sekitar tujuh tahun lalu.
“Apabila dia tiada saya kena memandu sendiri tetapi suami pula akan hubungi sepanjang tempoh 24 jam kerana risau.
“Sekarang dia akan menelefon ‘bodyguard’ saya bertanyakan tentang keadaan saya,” katanya.
Selain untuk keselamatan, kehadiran pengawal peribadinya itu juga membuatkan kehidupannya menjadi lebih lancar.
“Ini keputusan suami. Kalau saya, sendirian ke mana-mana pun tidak mengapa, lebih baik tetapi saya saya cuai dan cepat lupa.
“Laluan biasa untuk pergi ke mana-mana juga saya susah ingat sebab selalu leka. Barang pun selalu tertinggal, telefon bimbit entah di mana. Jadi pengawal peribadi dapat bantu banyak benda,” ujarnya.
Sumber: Kosmo!