Penyanyi, Noh Salleh mengakui kehidupannya sukar selepas enam bulan berpisah dengan bekas isteri, Mizz Nina.
Menurut pemilik nama sebenar Mohammad Noh Salleh, beliau menjalani kehidupan yang sukar hingga terpaksa berebutkan anak.
“Sejak enam bulan lalu saya lalui kehidupan yang sukar. Saya bercerai dengan isteri (Mizz Nina) dan berebut anak,” kata beliau kepada sebuah portal hiburan Indonesia.
Perkara itu disebut Noh semasa menjawab soalan mengenai lima lagu Indonesia yang menjadi kegemarannya, salah satunya adalah lagi Manusia, nyanyian David Bayu.
“Lagu Manusia benar-benar satu refleksi terhadap diri saya. Sejak enam bulan lalu saya melalui kehidupan yang sukar,” ujarnya.
Tambahnya lagi, lagu itu seakan kena dengan dirinya sebagai seorang manusia yang melalui detik sukar dalam hidup.
Sejak mengumumkan penceraian pada Ogos lalu, Noh tidak pernah mengulas mengenai perpisahan itu, dan cuba mengelak daripada ditemubual media.
Terdahulu, Noh dan Mizz Nina berkahwin pada 2 Julai 2011, namun tidak dikurniakan anak. Mereka telah mengambil seorang anak angkat lelaki yang diberi nama Musa. Bagaimanapun, mereka berpisah pada 4 Ogos 2022.
Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman, 40, telah selamat bergelar isteri buat kali kedua apabila bernikah dengan seorang penyanyi rap Amerika Syarikat, iaitu Essam Muhammad.
Baca: Mizz Nina Kini Isteri Essam Muhammad, Rakan Artis dan Warganet Ucap Tahniah
Sumber: Kosmo!