Aksi Noh Salleh Bawa Rokok Di Pentas Minggu Fesyen Ditegur DG Hisham

Nama penyanyi Noh Salleh sekali lagi menjadi bualan hangat selepas aksinya memegang sebatang rokok yang tidak dinyalakan semasa memperagakan koleksi di atas pentas Kuala Lumpur Fashion Week 2022 tular di media sosial baru-baru ini.

aksi noh salleh bawa rokok di pentas minggu fesyen ditegur dg hisham

Aksi itu tidak hanya mencuri perhatian netizen, namun juga Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang menegur perbuatan tersebut.

Menerusi satu hantaran di laman Twitter rasminya, Noor Hisham menegaskan pihak KKM memandang serius isu berkaitan artis yang menampilkan perilaku seperti merokok dan menghisap vape di khalayak ramai.

“KKM memandang serius terhadap isu berkaitan artis yang menonjolkan tingkah laku seperti merokok dan menghisap vape di khalayak ramai.

“Perbuatan ini menunjukkan contoh yang tidak baik kepada masyarakat sekeliling terutama kepada kanak-kanak dan remaja,” katanya.

Dalam pada itu, Noor Hisham turut menyeru orang ramai untuk membantu usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mengekang budaya merokok.

“KKM menyeru setiap lapisan masyarakat termasuk artis dan selebriti untuk membantu usaha KKM bagi memastikan perbuatan merokok dapat dijadikan sebagai satu budaya yang tidak diterima lagi dalam kalangan masyarakat,” tambahnya.

Terdahulu, nama Noh juga pernah terpalit dalam kontroversi lain susulan menghisap rokok elektrik ketika ditemubual media sekitar Julai lalu.

 

Sumber: Utusan