Datuk Nicol David, bekas ratu skuasy negara telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia selepas meraih undi majoriti dalam satu undian dalam talian yang ditutup pada jam 9 malam tadi.
Menjadi satu-satunya calon tunggal Asia, juara dunia sebanyak lapan kali itu menjadi pendahulu dalam senarai undian sejak hari pertama undian dibuka pada 8 Januari lalu.
Secara keseluruhannya, beliau menerima 318,943 undi, dengan kelebihan 200,000 undi daripada pencabar terdekat iaitu lagenda tarik tali dari Ireland, James Kehoe.
Undian yang dilakukan menerusi laman sesawang rasmi Sukan Dunia, https://www.theworldgames.org turut menunjukkan bekas pemain nombor satu dunia selama sembilan tahun berturut-turut itu mengatasi 23 atlet lain yang mewakili sukan masing-masing daripada kesemua edisi Sukan Dunia selama 40 tahun itu.
"Ia adalah satu penghormatan buat diri saya apabila dicalonkan untuk anugerah ini dan menerima sokongan padu daripada seluruh rakyat Malaysia serta komuniti skuasy.
"Ia agak mengejutkan melihat diri saya disenaraikan bersama atlet terkemuka dunia yang lain dan saya bersyukur untuk anugerah ini. Semoga kejayaan ini dapat meningkatkan perhatian dunia terhadap sukan skuasy.
"Ini adalah saat yang membanggakan untuk mewakili negara saya dan Asia," kata atlet kelahiran Pulau Pinang berusia 37 tahun itu.
Pencabar terdekat beliau, James Kehoe yang memperoleh 113,120 undi diikuti atlet powerlifiting wanita dari Ukraine, Larysa Soloviova, yang berada di tempat ketiga dengan 80,790 undi.
Terdahulu, pemain hoki dari India, Ritu Pani pernah memenangi anugerah Atlet Terbaik Sukan Dunia bagi edisi 2019.
Sumber: Astro Awani / BERNAMA