Pelakon veteran, Rozie Othman, 60, pernah memberikan nasihat kepada cucunya yang juga ahli kumpulan DOLLA, iaitu Syasya, 22, untuk tidak tampil terlalu seksi hingga mengundang kecaman ramai.
Menurut Rozie, sebagai nenek beliau sudah menjalankan tanggungjawab memberi nasihat kepada cucunya itu, namun selebihnya terpulang kepada Syasya sendiri untuk menerima atau tidak.
Beliau akui faham kerana pernah melalui zaman muda seperti cucunya itu dan menasihatkan Syasya untuk tampil lebih sopan.
"Mengenai pemakaian seksi Syasya itu saya tahu dan sudah cuba menasihatinya. Saya cakap pada dia (Syasya), seksi-seksi macam ni, nenek tak berkenan. Kurangkan, cuba ubahlah.
"Saya pun dulu pernah muda seperti dia, jadi fahamlah juga jiwa orang muda ini. Cuma, apa yang saya harap dia dapat terima nasihat diberikan itu.
"Saya doakan yang baik-baik untuk dia agar mendapat hidayah daripada Allah. Saya juga berharap dia akan terus berjaya di dalam karier seni diceburinya ini. Dia masih muda dan perjalanan juga jauh lagi," katanya.
Rozie sebelum ini pernah membintangi beberapa drama di televisyen, mula aktif berlakon pada era 1980-an. Antara drama lakonannya adalah seperti Rumah Kedai, Rombongan Cik Kiah ke Sukan Komanwel dan Astana Idaman.
Sumber: HMetro