Penyanyi, Naufal Azrin, 25, berkata beliau kini sudah mampu menepis kecaman yang boleh menjatuhkan dirinya, sebaliknya hanya mengambil perkara positif sebagai pendorong semangat.
Menurut pemilik nama sebenar Ahmad Naufal Azrin, beliau tidak menganggap kontroversi memberi kesan, meskipun sebelum ini pernah dikecam teruk soal imej dan penampilan.
"Saya tidak ambil kisah apa yang orang nak cakap. Nak cakap apa, cakaplah.
"Selagi emak restu dengan jalan kerja saya, biarlah orang nak cakap apapun. Janji tidak datang depan muka dan tumbuk saya.
"Boleh juga dikatakan saya sudah kalis dengan kecaman, kalau nak 'tembak' pun, 'tembaklah', insya-Allah saya boleh tepis," katanya.
Selain nyanyian, Naufal kini mula berjinak dalam dunia lakonan menerusi drama One Million Dollar Voice.
"Berlakon antara pengalaman baharu, saya tak pernah berlakon dalam mana-mana drama.
"One Million Dollar Voice adalah drama pertama saya.
"Jujurnya, saya rasa seronok dapat bekerjasama dengan ramai pelakon sebab mereka tidak menghakimi saya. Misalnya, saya ada buat kesilapan dan sebagainya.
"Sebaliknya, rakan pelakon bantu dan ajar untuk buat saya lebih yakin. Saya buat apa yang saya rasa selesa dan pengarah suka, Alhamdulillah.
"Jadi, sekiranya ada tawaran saya kena tengok watak dan skrip diberikan. Setakat ini, belum ada tawaran lagi, jadi saya mahu fokus dengan lagu baharu bersama Nuha Bahrin," katanya lagi.
Tambah beliau, pengalaman menyertai program realiti banyak membantu dirinya menimba ilmu baharu yang boleh digunakan dalam perjalanan sebagai anak seni.
Sumber: BH